Rabu, Maret 12, 2008

AL KAHFI, NII KW 9 MALAYSIA

Tebus dosa dengan bayar RM250

Oleh ZAINI SAMSU HADI
mohdzaini.samsuhadi@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Bayar RM250 boleh hapus dosa?
Bunyinya memang tidak masuk akal malah boleh dianggap menipu untuk mendapatkan duit cara mudah.
Tetapi perkara itu benar-benar berlaku dalam sebuah kumpulan ajaran sesat yang sudah lama bertapak tetapi kini semakin aktif di sekitar Lembah Klang dengan ramai ahlinya golongan profesional seperti doktor, jurutera, peguam dan pensyarah.

Apa yang membimbangkan pihak berkuasa ialah mereka juga dipercayai giat menambah ahli di seluruh negara.

Dengan modus operandi masuk syurga tanpa hisab, kumpulan tersebut bijak menggunakan ayat-ayat suci daripada tafsir al-Quran dengan tujuan mempengaruhi sesiapa sahaja yang ingin diajak bagi memasuki kumpulan itu.

Mereka yang berpangkalan di sebuah negara jiran telah bergiat aktif sejak 12 tahun lalu dengan jumlah ahlinya bertambah dari semasa ke semasa.

Perkara itu, didedahkan seorang bekas ahli kumpulan tersebut yang hanya dikenali dengan panggilan Syed kepada wartawan KOSMO!.

Beliau yang telah menjadi ahli sejak setahun lalu mengambil keputusan meninggalkan kumpulan itu setelah menyedari banyak perkara yang bercanggah dengan Islam.

Menurut Syed yang berusia lingkungan 30-an itu, kumpulan tersebut yang dikenali sebagai 'Pendukung Gerakan Kahfi' menjalankan aktiviti mereka secara senyap-senyap dan menjadikan kaum Hawa sebagai aset dalam menggerakkan kegiatan mereka.

Katanya, kumpulan itu berpaksikan seorang ketua yang dikenali dengan gelaran 'Ulul Amri' iaitu ulama yang mampu menghapus dosa meskipun seseorang itu telah melakukan dosa besar dengan hanya membayar RM250.

"Mereka hanya perlu mengikuti tiga sesi penyucian diri dengan megikuti program ceramah yang dianjurkan," ujarnya

KOSMO! difahamkan, sasaran utama gerakan tersebut ialah pasangan yang bercadang mendirikan rumah tangga kerana golongan tersebut dipercayai mudah dipengaruhi.

"Mereka ini memang pandai bermain dengan kata-kata dan sesiapa sahaja yang mahu menyangkal pasti terkedu dengan hujah-hujah yang mereka gunakan.

"Lagi pula mereka ini menggunakan tafsir al-Quran yang sentiasa dibawa setiap kali berjumpa dengan pasangan-pasangan yang akan mendirikan rumah tangga,'' ujar Syed lagi.

Tambahnya, pertemuan biasanya diatur oleh ketua kumpulan dengan pasangan wanita yang telah dipengaruhi dan kebiasaannya mereka akan bertemu di warung-warung.

Katanya, ahli kumpulan itu berpakaian kemas dengan kemeja serta berseluar slack selain membawa tafsir al-Quran.

Ujarnya, kepetahan mereka menggunakan tafsir al-Quran serta memanipulasi kandungannya akan membuatkan sesiapa sahaja yang mendengarnya boleh 'cair'.

www.niimalay.com