Senin, Juli 14, 2008

MALAYSIA NEGARA JAHILIYAH MENURUT NEGARA ISLAM INDONESIA KW 9




Puluhan rakyat tempatan, termasuk berpendidikan tinggi yang direkrut bagi mempertahankan gerakan sesat di kota Negara Islam Indonesia (NII) di Jawa Barat, wajib menandatangani perjanjian ‘Merah Dua' bagi menyatakan taat setia kepada komandan atau imam besar di tempat berkenaan.

Malah, perjanjian itu perlu dilakukan pengikut kumpulan itu di lokasi sulit di Indonesia dengan disaksikan imam besar terbabit sebelum dibenarkan memasuki kota kecil itu.

Bagaimanapun, pengikut yang sudah mencapai tahap perjanjian kedua itu perlu membayar wang tebus kira-kira RM2,000 bagi membolehkan mereka ‘berhijrah’ ke kota NII yang mereka ibaratkan sebagai Madinah yang terletak di kawasan terpencil di Jawa Barat.

Imam besar terbabit menjaga kota itu yang dihuni mereka yang kononnya bersih daripada sebarang kemungkaran.
Seorang bekas pengikut kumpulan itu memberitahu Harian Metro, gerakan itu dipercayai mempunyai rangkaian di negara ini yang digerakkan seorang lelaki korporat lingkungan 40-an yang bekerja di sebuah syarikat gergasi negara.

Katanya, gerakan yang merosakkan akidah itu dikendalikan secara sulit di beberapa tempat di Lembah Klang.

Dia berkata, kebanyakan pengikut tempatan yang terjebak dengan ajaran terbabit lingkungan 30-an hingga 50-an.

Dia juga pernah dibawa berjumpa ketua kumpulan terbabit tetapi tidak mengetahui namanya.

“Tetapi lelaki itu mempunyai penampilan kemas tanpa jubah dan lebai atau songkok seperti orang arif mengenai agama.

“Apa yang menarik lelaki terbabit mampu menjawab setiap kemusykilan agama yang dibangkitkan dengan mudah berdasarkan tafsiran al-Quran,” katanya yang juga seorang pegawai di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia memang keliru dengan ajaran kumpulan terbabit yang mampu memberikan sebarang kemusykilan menggunakan ayat al-Quran.

“Saya sebenarnya tidak yakin dengan ajaran ini, malah tidak menutup mata ketika dibawa ke lokasi kuliah seperti diarahkan. Malah, mereka hanya memberikan ingatan bahawa ia bagi menguji sama ada keyakinan saya terhadap apa yang diajar,” katanya.

Dia mendedahkan ada antara pengikut kumpulan itu di kalangan ahli politik, korporat dan bekas imam terkemuka.

Sementara itu, siasatan Harian Metro mendapati berdasarkan senarai nama lebih 100 pengikut di Lembah Klang, lebih separuh daripada mereka dikesan sudah menandatangani perjanjian ‘Merah Dua' itu.

Pengikut yang diberi gelaran tertentu itu mempunyai peranan lebih besar untuk mencari pengikut baru di kalangan intelek dan golongan kaya di negara ini.

Mereka juga sanggup melakukan korban sama ada wang dan kemudahan masing-masing hingga nyawa bagi mempertahankan kewujudan kota itu.

Mengulas gerakan sulit terbabit, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohamad Khusrin Munawi mengakui sedang mengikuti perkembangan kumpulan terbabit yang dikatakan sudah menular hampir ke seluruh negara.

“Berdasarkan siasatan, kumpulan terbabit didalangi mereka berpendidikan tinggi, termasuk bekerja di syarikat besar.

“Kita percaya mereka mempergunakan rakyat negara ini bagi mencari dana untuk menampung keperluan di kota NII.

“Kita percaya gerakan kumpulan itu dilakukan secara sulit dengan menggunakan nama samaran selain menggunakan pendekatan perjanjian tertentu untuk mengikat pengikut,” katanya yang dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, kegiatan kumpulan itu perlu dibanteras bagi mengelak perkara yang tidak dijangka pada masa depan.

Ini berdasarkan matlamat mereka mahu mewujudkan sebuah negara Islam di Indonesia selain menganggap Malaysia sebuah negara jahiliah.

Sumber : NII KW 9