Selasa, Desember 30, 2008

IJAZAH AL ZAYTUN DITOLAK MALAYSIA




KUALA LUMPUR - Kementerian Pengajian Tinggi mengesahkan Universiti Maahad Al-Zaytun di Indramayu, Jawa Barat, Indonesia tidak diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kerana tidak memenuhi instrumen kualiti dan standard ditetapkan kerajaan.

Mengulas lebih lanjut, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ir. Idris Haron berkata, kampus yang bertapak di republik itu pada asasnya gagal mengikut senarai kursus-kursus wajib serta jumlah kredit yang diselaraskan oleh MQA.

"Selain itu, hasil kajian kementerian mendapati program yang ditawarkan seperti Usuluddin didapati bukan satu set kriteria yang dipersetujui di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,'' katanya kepada Kosmo! semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz memberitahu, terdapat kira-kira 200 orang penuntut Malaysia belajar di universitu itu.

Universiti itu mula diragui apabila lokasi kampus itu terletak di satu kawasan yang dipercayai terangkum dalam wilayah 'kerajaan Islam tulen' bagi pengikut Ajaran MLM atau Ajaran Pemuda Al-Khafi.

Biarpun begitu, jelas Idris, pihaknya tiada kuasa untuk menghalang niat ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak mereka belajar di sana meskipun universiti tersebut tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

"Kita tiada kuasa (halang), suka hati mereka tapi bila mana-mana pelajar balik dengan sijil atau diploma mereka, mereka tak akan diterima bekerja di agensi atau pun pejabat kerajaan di Malaysia," jelasnya.

Ditanya jika timbul sebarang masalah di kalangan pelajar di sana, katanya, kementerian akan campur tangan tetapi bukan merujuk individu itu sebagai seorang pelajar tetapi sebagai seorang rakyat Malaysia.

SUMBER : http://gerakankahfi.blogspot.com/2008/12/tak-iktiraf.html