Senin, Juni 20, 2005

Bawa Pulang Anak Dari Pesantren NII Al Zaytun

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2002&dt=0726&pub=utusan_malaysia&sec=dalam_negeri&pg=dn_03.htm

Oleh: HAIRULAZIM MAHMUD

KUALA LUMPUR 25 Julai -

Kerajaan hari ini meminta ibu bapa kepada 111 pelajar Malaysia yang masih menuntut di Pesantren Al-Zaytun di Indramayu, Jawa Barat agar membawa pulang anak-anak mereka secepat mungkin kerana pesantren itu dikesan mempunyai unsur ajaran sesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin berkata, tindakan segera itu perlu dilakukan bagi mengelakkan risiko termasuk penyelewengan akidah di kalangan mereka.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Penerima Biasiswa Baitulmal dan Pelancaran Skim Simpanan Tabung Haji di Pusat Islam, di sini hari ini.

Abdul Hamid mengulas langkah selanjutnya oleh kerajaan yang mendapati sebanyak 111 pelajar Malaysia sedang menuntut di pesantren tersebut walaupun siasatan mendapati ia mempunyai unsur ajaran yang terpesong dari Islam.

Semalam, Abdul Hamid memberitahu, kerajaan tidak mengiktiraf kelulusan yang diperoleh oleh pelajar pesantren, antara yang terbesar di Indonesia itu kerana menyeleweng daripada ajaran Islam seperti kumpulan Al-Arqam yang diharamkan.

Beliau menambah, kajian yang dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati ada beberapa keraguan terhadap perjalanan Pesantren Al-Zaytun daripada segi kurikulum pelajaran dan juga kegiatan pelajar.

Pada 19 April lalu, Utusan Malaysia mendedahkan pondok pengajian agama itu disiasat oleh Kementerian Hal Ehwal Agama negara itu kerana dipercayai terlibat dalam ajaran sesat.

Antara kesesatan yang didakwa dilakukan ialah pimpinan pondok berkenaan menganggap orang lain di luar gerakan mereka adalah kafir, termasuk ayah dan ibu kandung sendiri.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, kerajaan mempunyai pandangan yang berbeza dengan kerajaan Indonesia berkaitan status Pesantren Al-Zaytun itu.

``Kerana itu, tidak ada kerjasama kerajaan dengan kerajaan untuk membawa pulang pelajar-pelajar berkenaan,'' ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid mengarahkan Yayasan Ma'ahad Malaysia di Shah Alam yang mengendalikan pelajar Malaysia ke Pesantren Al-Zaytun di Indramayu supaya menghentikan operasi pengambilan pelajar-pelajar baru.

Sementara itu, Ketua Unit Pendidikan Yayasan Ma'ahad Malaysia, Hisham Mohd. Hussain ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menunggu arahan rasmi daripada kerajaan berkaitan hasil siasatan tersebut.

Sehingga kini, kata beliau, pihak yayasan hanya mengetahui kedudukan Pesantren Al-Zaytun mempunyai unsur-unsur ajaran sesat melalui akhbar.

``Kita sedang menanti surat rasmi berkaitan arahan terbaru kerajaan itu dan kami akan mematuhi serta menghormati keputusan tersebut,'' katanya.