Senin, Juni 20, 2005

Kerajaan Malayais tak iktiraf kelulusan Pesantren Al-Zaytun

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2002&dt=0725&pub=utusan_malaysia&sec=dalam_negeri&pg=dn_01.htm

PUTRAJAYA 24 Julai -

Kerajaan tidak mengiktiraf kelulusan yang diperoleh oleh pelajar Pesantren Al-Zaytun di Indramayu, Jawa Barat, Indonesia kerana didapati mempunyai unsur-unsur ajaran sesat seperti yang dibawa oleh kumpulan Al-Arqam yang diharamkan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin hari ini berkata kajian yang dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati terdapat beberapa keraguan terhadap perjalanan Ma'ahad Al-Zaytun daripada segi kurikulum pelajaran dan juga kegiatan pelajar.

``Unsur-unsur seperti yang terdapat dalam ajaran sesat Al-Arqam itu ada (dalam kurikulum) seperti pemujaan dan sebagainya,'' katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini.

Beliau berkata ekoran itu, Yayasan Ma'ahad Asas Al-Zaytun di Shah Alam telah diarahkan supaya menghentikan operasi mengambil pelajar Malaysia untuk dihantar ke Ma'ahad Al-Zaytun di Indramayu.

Abdul Hamid berkata, selain terdapat gerakan dan amalan yang meragukan dan terpesong dari ajaran Islam, didapati sistem yang diamalkan boleh membentuk pemikiran dan peribadi pelajar yang taksub secara salah dan boleh mengancam keselamatan negara.

``Pelajar ini akan hidup dalam lingkungan mereka sahaja tidak bercampur dengan masyarakat luar dan mewujudkan satu kumpulan masyarakat kecil dalam dunia mereka,'' katanya.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa yang berhasrat untuk menghantar anak mereka belajar di Ma'ahad tersebut supaya menghentikan niat mereka untuk menjaga kesejahteraan akidah anak-anak di masa hadapan.

Setakat ini, katanya, terdapat 111 orang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Pesantren Al-Zaytun.

Abdul Hamid juga menasihati ibu bapa yang telah menghantar anak-anak mereka belajar di sana agar mengambil semula anak mereka dan mendaftarkan semula mereka di mana-mana sekolah di negara ini.

- Bernama