Senin, Juni 20, 2005

Kerajaan tidak iktiraf pesantren NII AL Zaytun

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2002&dt=0427&pub=utusan_malaysia&sec=dalam_negeri&pg=dn_07.htm

Oleh: HELMI MOHD. FOAD

KUALA LUMPUR 26 April -

Kerajaan tidak mengiktiraf mana-mana pesantren atau pusat pengajian pondok di Indonesia termasuk Maahad Al-Zaytun yang kini sedang disiasat kerana dikesan menyebarkan ajaran sesat.

Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk Mahadzir Mohd. Khir berkata, pelajar-pelajar dari negara ini yang menjalani pengajian Islam di mana-mana pesantren di republik berkenaan perlu menanggung risiko sendiri.

Katanya, penghantaran pelajar pengajian Islam di luar negara adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri dan ia tidak melibatkan Kementerian Pendidikan.

``Pelajar-pelajar yang menjalani pengajian Islam di sana pergi secara persendirian dan mereka perlu menanggung risiko jika tempat pengajian mereka didapati mempunyai unsur ajaran sesat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tidak bercadang menghentikan penghantaran pelajar-pelajar dari negara ini untuk melanjutkan pengajian ke universiti-universiti di Indonesia.

Katanya, setakat ini terdapat beberapa universiti di Indonesia yang mendapat pengiktirafan kerajaan Malaysia.

``Pelajar-pelajar yang dihantar ialah mereka yang mengikuti pengajian dalam bidang perubatan dan ijazah mereka diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),'' ujarnya.

Berkenaan laporan bahawa terdapat gerakan ajaran sesat yang mempunyai kaitan dengan sebuah pesantren di Indonesia, Mahadzir berkata, perkara itu masih dalam siasatan Jabatan Pendidikan Swasta (JPS).

``Saya sudah dimaklumkan tentang gerakan ajaran sesat tersebut tetapi masih belum mendapat maklumat terperinci mengenai perkara itu daripada JPS,'' ujarnya.