Senin, Juni 20, 2005

Ibu bapa 8 pelajar hentikan pendidikan anak di pesantren NII AL Zaytun

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2002&dt=0527&pub=utusan_malaysia&sec=muka_hadapan&pg=mh_03.htm

Oleh:ZULKEFLI HAMZAH dan SHARILFUDDIN SAARI

JAKARTA 26 Mei -

Ibu bapa kepada lapan pelajar Pesantren Al-Zaytun dari Malaysia bertindak nekad mengeluarkan anak mereka setelah berasa tertipu dengan janji-janji sekolah agama yang disifatkan terbaik di Asia Tenggara itu.

Kumpulan ibu bapa itu pergi sendiri ke Indramayu, Jawa Barat untuk menjemput anak masing-masing berikutan pihak sekolah enggan melepaskan pelajar dan menyimpan pasport mereka.

Jurucakap kepada ibu bapa berkenaan, Abdul Rahman Halim, 40, berkata, dia bersama ibu bapa pelajar lain hampir tiga minggu berada di Indonesia termasuk meminta bantuan Kedutaan Malaysia di Jakarta untuk menguruskan kepulangan anak masing-masing.

Katanya, pihaknya terpaksa menggunakan `khidmat orang-orang tempatan' ke sekolah berkenaan setelah perundingan cara baik untuk membawa anak mereka pulang gagal.

``Kedatangan kami ke sekolah berkenaan tidak dilayan secara baik... permintaan kami menemui pengetua, Panji Gumilang dan meminta bantuan sebuah bas, juga tidak dilayan. Mereka hanya hantar orang lain.

``Saya terpaksa menyewa lori untuk membawa anak-anak ke Jakarta yang jaraknya kira-kira 200 kilometer.

``Sekolah agama itu tidak lagi dapat memberikan pendidikan yang sebaiknya kepada anak kami seperti yang dijanjikan,'' katanya ketika ditemui di sini.

Para pelajar berkenaan dan keluarga mereka berlepas pulang ke Malaysia hari ini.

Sebelum ini Pesantren Al-Zaytun dilaporkan sedang disiasat oleh Jabatan Agama Islam Indonesia kerana dikatakan mempunyai kaitan dengan gerakan ajaran sesat.

Sekolah itu kini mempunyai 6,000 pelajar, 111 daripadanya dari Malaysia.

Sekolah pondok Al-Zaytun milik Yayasan Maahad Al-Zaytun dirasmikan oleh Presiden B.J Habibie pada 1998 dan didirikan di kawasan seluas 200 hektar dengan kawasan penternakan, perikanan, pertanian dan tanaman hutan seluas 1,000 hektar.

Abdul Rahman dari Shah Alam menjelaskan, dia mengambil keputusan mengeluarkan dua anak perempuannya yang berusia 15 dan 16 tahun setelah dimaklumkan mengenai masalah yang menimpa mereka.

``Mereka menghubungi saya supaya segera ke Indramayu kerana mereka sedang menghadapi masalah besar. Anak-anak saya dipaksa untuk membayar pelbagai bayaran.

``Mengikut perjanjian setiap pelajar hanya dikenakan bayaran RM3,600 untuk pengajian selama enam tahun sehingga ke peringkat sarjana. Tetapi setelah tiga tahun berlalu mereka dikenakan pelbagai bayaran termasuk untuk bilik, elektrik dan air.

``Kami dulu dijanjikan seekor lembu untuk seorang pelajar tetapi saya lihat hanya ada kira-kira 100 ekor lembu. Mereka dulu janji mengajar lapan bahasa utama dunia, sampai sekarang saya tidak dapat lihat kesannya,'' ujarnya.

Jelasnya, dia kemudian menghubungi cawangan pesantren itu, Yayasan Asas Maahad Malaysia di Seksyen 9, Shah Alam untuk meminta bantuan tetapi tidak mendapat jawapan memuaskan.

``Mereka menyatakan bahawa pelajar tidak boleh dikeluarkan, dan mereka juga atas nama individu tidak boleh melawat sekolah berkenaan.

``Saya berasa ada sesuatu yang tidak kena. Sebab itu saya terus ke sini, disusuli oleh ibu bapa lain yang turut dimaklumkan perkara yang sama oleh anak masing-masing,'' tambahnya.

Kata Abdul Rahman lagi, dia bertambah curiga apabila mendapati banyak pembangunan sekolah itu termasuk masjid terbengkalai.

Abdul Rahman yang bekerja sebagai peniaga, berkata, dia dimaklumkan bahawa pondok pesantren berkenaan telah menaikkan kos pengajian untuk pengambilan pelajar baru.

``Saya juga difahamkan ada 50 pelajar Malaysia akan mendaftar pada pengambilan baru Jun ini,'' ujarnya.

Sementara itu, salah seorang pelajar terbabit yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Mohd. Rahimi Tajuddin, 15, berkata, beliau merasa sangat gembira selepas berjaya menjejakkan kaki kembali ke tanah air.

Katanya, ini merupakan pengalaman yang sangat berharga buat dirinya serta rakan-rakannya yang lain sejak mengikuti pengajian di sana selama tiga tahun.

``Kami sangat gembira tetapi masih teringatkan rakan-rakan dari Malaysia yang berada di sana,'' katanya ketika ditemui.

Mohd. Rahimi bersama tujuh lagi rakannya iaitu dua lelaki dan lima perempuan serta ahli keluarga masing-masing, tiba di lapangan terbang itu dengan pesawat Merpati Air dari Jakarta pada pukul 6.55 petang.

Kepulangan mereka disambut dengan gembira oleh sanak saudara masing-masing yang telah menunggu di situ sejak pukul 5 petang lagi.

Menceritakan pengalaman di sekolah pondok, Mohd. Rahimi mendakwa, antara lain mereka diminta bekerja berat tetapi enggan mengulas lanjut.

Katanya lagi, pihak sekolah juga pada mulanya enggan melepaskan mereka manakala pasport-pasport mereka disimpan oleh pihak sekolah.

``Oleh itu, kami terpaksa mendapatkan bantuan Kedutaan Malaysia di sana bagi memperoleh kembali pasport.

``Semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang di Jakarta, kami juga terpaksa menaiki lori sayur,'' katanya.