Kamis, September 29, 2005

Kumpulan ajaran sesat mahu tubuh empayar Islam dikesan

Dari : utusan.com.my

GOMBAK 28 Sept. - Sebuah kumpulan ajaran sesat yang bermatlamat mewujudkan empayar pemerintahan Islam atau negara Islam kini dikesan bergerak aktif dengan berselindung di sebalik kelas pengajian al-Quran.

Kegiatan kumpulan yang bergerak secara rahsia dan tersusun itu dikesan hasil kajian dan penyelidikan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sejak lebih enam bulan lalu.

ABIM mula melakukan penyelidikan itu setelah menerima maklumat mengenai kegiatan ajaran sesat tersebut daripada beberapa orang bekas anggota kumpulan berkenaan.

Presiden ABIM, Yusri Mohamad berkata, kumpulan yang bergerak atas nama Daulah Islamiah Nusantara (DIN) atau Pemuda Kahfi itu dipercayai bergerak aktif di negara ini sejak lebih 10 tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, kegiatan kumpulan DIN yang mempunyai organisasi tersusun dan penuh kerahsiaan itu sukar dikesan kerana mereka bergerak atas nama kelas pengajian al-Quran.

Menurutnya, berdasarkan pengakuan bekas ahli kumpulan itu, kebanyakan pengikut ajaran sesat DIN terdiri daripada golongan profesional termasuk doktor, jurutera, peguam dan pensyarah.