Kamis, September 29, 2005

Anda mahu taubat ? Bayar RM300

Dari : www.hmetro.com.my

GOMBAK: Satu kumpulan yang berselindung di sebalik siri pengajian tafsir al-Quran, dikesan menyimpang daripada ajaran Islam dengan mengenakan bayaran RM300 sebagai ‘wang taubat’ untuk menyucikan diri pengikut barunya.

Pendedahan mengenai kegiatan kumpulan Daulah Islamiah Nusantara (DIN)/Pemuda Khafi itu yang sudah lebih 10 tahun bertapak di negara ini dibuat Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), semalam.

Abim menganggap DIN memperalatkan agama untuk mengumpul dana dan boleh pesongkan akidah umat Islam.

Seorang bekas ahli kumpulan itu, Leman (bukan nama sebenar), mengakui sudah membayar RM1,360 termasuk RM1,000 untuk pendaftaran awal, RM300 sebagai ‘wang taubat’ dan RM60 untuk yuran bulanan.

“Bagi duit taubat, saya pada mulanya mahu membayar RM100 saja kerana kekurangan wang, tetapi mereka kata saya sudah hidup dan berdosa selama 25 tahun, tidak mungkin boleh bayar RM100 saja. Mereka arahkan saya bayar penuh RM300,” kata graduan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu.

Leman menyatakan dia kini dikatakan ‘kafir’ kerana hanya sempat mengikuti ajaran itu selama lebih dua minggu saja, berbanding tempoh enam bulan yang ditetapkan untuk sesi pengajian digelar tilawah asas.

“Saya ikut kumpulan itu April lalu. Saya diajak tahun lalu oleh tiga orang berlainan, termasuk rakan sekolah dulu. Seingat saya, saya diajak tiga kali, tetapi mereka sebenarnya ada rekod menyatakan sudah empat kali usaha itu dilakukan.

“Saya tertarik kerana ada kelas al-Quran, malah rakan itu menyatakan ajaran berkenaan lain daripada yang lain. Lagipun, ia pelik kerana tidak tahu siapa guru sebenar dan lokasi pula berubah mengikut keadaan.

“Kali pertama tilawah, saya dibawa rakan yang dipanggil penaja itu ke Cheras. Ketika masuk ke kawasan itu, kami ikut jalan yang berpusing-pusing kononnya supaya orang kafir tidak nampak. Saya ingat orang kafir yang dimaksudkan adalah bukan Islam, rupanya mereka yang bukan pengikut ajaran ini dikatakan kafir,” katanya.

Menurutnya, sesi tilawah pertama itu diadakan di rumah kedai dan di dalamnya terdapat dua orang lain, yang digelar pendamping dan penyampai, lalu berlaku situasi tiga lawan satu.

Menurutnya, dalam tempoh lima hingga 10 hari pengajian, mereka menggunakan serangan psikologi, tafsiran al-Quran dan hadis mengikut logik untuk menimbulkan keraguan terhadap asas Islam sebenar dan mendakwa terdapat empat asas pengajian iaitu akidah, ibadah, sunnah dan pelaksanaan.

“Saya dalam keadaan sedar, tetapi tidak sempat berfikir kerana ia dilakukan secara intensif. Seminggu ada tiga atau empat kali sesi tilawah dan satu sesi selama tiga jam. Mereka hafal ayat dan terjemahan, cakap sikit lapik dengan ayat al-Quran dan surah tertentu.

“Fahaman terhadap kewajipan solat dicairkan. Mereka dakwa apa saja yang dilakukan adalah solat dan menggunakan hadis Rasulullah s.a.w. solat pada waktu malam sampai pecah kaki sebagai hujah dan bagi mereka, itu bukan solat biasa.

“Soal solat ini menyebabkan saya berpatah balik dan keluar dari ajaran itu. Pada tilawah pertama, mereka benarkan saya sembahyang tetapi tiga pemimpin itu tidak sembahyang. “Apabila saya tanya, mereka kata solat ada dua jenis iaitu ‘actual dan ritual’ yang bermaksud solat biasa dilakukan di tempat suci dan aman manakala aktiviti dakwah atau pelaksanaan ajaran keIslaman seperti gerak kerja kumpulan ini juga adalah solat.

“Secara tidak langsung, penjelasan itu bermakna mereka menafikan solat dan mereka anggap ketika sesi tilawah keadaan tidak aman seperti sedang berperang, jadi tak perlu solat.

“Saya tidak setuju dengan hal itu dan tarik diri,” katanya sambil menjelaskan ada juga ahli yang keluar kerana tidak mampu membayar yuran pengajian.

Selain pengajar sering berubah, Leman berkata, dia pernah diarah beberapa kali menutup mata kali untuk ke destinasi pengajian supaya pengikut tidak tahu lokasi berkenaan dan kononnya ia bertujuan menguji keikhlasan hati.

“Contohnya kelas 8 malam. Penaja akan menerima panggilan telefon daripada orang atasan dan dia akan beritahu lokasi. Sama ada lokasi itu tempat tilawah atau sekadar tempat transit sebelum dijemput untuk ke tempat lain pula, bergantung kepada keadaan.

“Mata akan ditutup ketika dalam perjalanan untuk ke lokasi sesi bai’ah ke atas. Biarpun tiga kali saya diarah menutup mata, saya tidak rasa takut kerana semuanya dirasakan sebagai rakan rapat. Sepatutnya, tempoh tilawah enam bulan dan selepas itu, ada tilawah lanjutan.

“Saya pernah ‘bersembang’ dalam forum di laman web dan dapati ramai lagi pengikut ajaran sama di negara ini. Saya turut ‘bersembang’ dengan seseorang yang dipercayai pengikut ajaran itu di negara jiran, sejak tiga tahun lalu dan hasilnya, ia ajaran sama yang menyeleweng,” katanya.