Rabu, September 07, 2005

NII Gunakan Agama Mrangkap Ahli-Ahli Baharu

Sumber : Utusan.com

WANITA itu menitiskan air matanya, kesedihan pada dirinya sudah tidak terbendung lagi, kerana anak kesayangannya, Lisma yang dahulunya dikenali sebagai gadis yang baik-baik, kini telah berubah perangainya.

"Saya cuba menasihatkan anak saya itu tetapi dia melawan, saya dituduhnya kafir,'' kata Dunda, 45.

Lisma sememangnya sudah berubah, mahasiswa Institut Teknologi Bandung (ITB) bahkan dia tidak pernah pulang ke rumah lagi.

Prestasi pelajarannya juga merosot, padahal anak kelima dari enam adik-beradik itu dikenali cukup pintar, perubahan terus berlaku kepada gadis tersebut sejak ia menjadi anggota sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Negara Islam Indonesia (NII).

Apa yang dirasai oleh ibu Lisma turut dirasai oleh Suryana, 52, beliau menjelaskan, anaknya suka melalaikan ibadat wajib dan suka mencuri barang miliknya.

"Alasan yang diberikan oleh anak saya itu ialah barang-barang orang yang tidak masuk NII halal untuk diambil,'' kata Suryana.

Namun peristiwa yang lebih menyedihkan berlaku ke atas Yeni. Suatu hari anak perempuan yang anggota NII meminta wang Rupiah 1 juta untuk 'disedekahkan' kepada ustaznya.

"Dia berkata kepada saya jika saya tidak mahu memberi wang itu, maka diri saya ini, walaupun ibunya sendiri halal untuk dibunuh,'' kata ibu tersebut.

Hakikatnya, bukan sahaja anak Dunda, Suryana dan Yeni sahaja yang menjadi pengikut ajaran sesat dan aneh tersebut, banyak mahasiswa lain, bahkan pelajar sekolah menengah telah terlibat menjadi anggota NII.

Ia disahkan oleh Ketua Badan Pelaksana Yayasan Pembangunan Masjid Salman, ITB, Hermawan Krisnadi yang menjelaskan, sekitar 200 mahasiswa institut itu terancam ditamatkan pengajian gara-gara kerana mengikuti kumpulan ajaran sesat tersebut.

"Mereka tidak pernah mengikuti kuliah lagi, bahkan kami kaum keluarga pun sering diperlecehkan oleh kelompok tersebut,'' katanya.

Beliau berkata, anggota-anggota NII menjadikan Masjid Salman sebagai markas gerakan mereka kerana anggap amat berpotensi untuk menyebabkan ajaran mereka.

"Sasaran mereka ialah golongan mahasiswa yang memiliki idealisme yang kuat,'' katanya.

Kegiatan NII itu turut mendapat perhatian Pembantu Rektor III ITB, Isnuwardianto yang memperolehi laporan sejumlah mahasiswa semester III dan IV yang merosot prestasi persekolahan mereka.

"Setelah kita menjalankan siasatan terbukti mereka terlibat dalam NII, salah seorang anggota NII yang sudah insaf mengaku bahawa gerakan itu memang membuatkan pengikutnya mengabaikan kuliah,'' katanya.

Apa yang membimbangkan umat Islam di Indonesia ialah gerakan NII tersebut bukan sahaja wujud di ITB sahaja malah ia sudah merebak ke beberapa buah lagi institut pengajian tinggi sekitar Bandung seperti Universiti Padjadjaran (Unpad) dan Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Sunan Gunung Djati, Bandung.

Keadaan itu ternyata membimbangkan ibu bapa yang anak mereka belajar di institut tersebut, justeru itu mereka menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas memandangkan NII sememangnya ajaran sesat yang harus dibanteras sama sekali.

Apatah lagi gerakan itu kini semakin berkembang di wilayah-wilayah lain termasuk Jakarta dan Medan.

Seorang bekas anggota NII, Dianul Hidayat berkata, gerakan itu sememangnya mengajar anggotanya untuk melawan orang tua mereka juga tidak dibenarkan bersekolah atau pergi kuliah.

"Saya tidak tahu berapa jumlah sebenarnya anggota NII tetapi sekitar 90,000 orang,'' katanya.

Kebiasaannya, anggota NII mencari anggota baru dengan cara mengajak mereka berdebat berhubung soal agama. Dalam perdebatan itu mereka menggunakan pelbagai dalil untuk memperkukuhkan hujah mereka dan sekali gus memerangkap anggota baru berkenaan.

Untuk menjadi anggota NII, seseorang itu harus mengangkat sumpah dan diwajibkan memberikan sumbangan yang jumlahnya kadangkala mencapai beribu-ribu ringgit.

Majlis angkat sumpah anggota baru itu diadakan di satu tempat yang dirahsiakan. Di situ, anggota berkenaan akan melaksanakan upacara tersebut di hadapan seorang yang bertaraf 'imam'.

Mereka yang akan dibawa ke tempat berkenaan dikehendaki menutup matanya dengan kain hitam dan akan menaiki kereta yang berlainan dari satu tempat ke satu tempat.

Langkah itu bertujuan bagi memastikan anggota baru tersebut tidak mengetahui di manakah sebenarnya letaknya tempat mengangkat sumpah tersebut.

Di tempat angkat sumpah itu terdapat pengisytiharan kemerdekaan Indonesia yang dibuat oleh Presiden Pertama Indonesia Sukarno dan Naib Presiden, Hatta tetapi diconteng dengan perkataan 'ini batil'.

Sebaliknya, mereka mengangkat sumpah antaranya berbunyi, "Demi Allah, saya mengakui adanya negara Islam Indonesia (NII) dan saya tidak mengakui adanya negara kesatuan dan saya sanggup melaksanakan syariat Islam.''

Setelah menjalani upacara itu, anggota baru berkenaan diwajibkan meminum air yang dikatakan akan membolehkan mereka mengikut sahaja apa yang disuruh.

Mereka juga diwajibkan membayar yuran keanggotaan sebanyak Rupiah 50,000 sebulan.

Seseorang anggota NII tidak dibenarkan bersembahyang dan diancam akan dibunuh jika keluar daripada gerakan tersebut. Apa yang menarik, kononnya gerakan ini mempunyai susunan kepimpinan sebagai sebuah negara.

Ia mempunyai Presiden dan barisan kabinetnya sendiri dan mereka yang menjawat jawatan itu diberikan pelbagai kemudahan termasuk sebuah kereta.

Kemudahan berkenaan dikatakan dibeli melalui kutipan yuran yang dikenakan kepada anggota-anggota gerakan itu. Jika ada anggota tidak mampu membayar ia akan dikira berhutang.

Justeru itu tidak hairanlah banyak anggota NII meninggalkan gerakan tersebut kerana dibebani oleh hutang berkenaan sepertimana berlaku kepada seorang mahasiswa, Lila yang berhutang hampir Rupiah 4 juta.

Lila telah berusaha melunaskan hutang berkenaan dengan menjual barang-barang milik orang tuanya, namun dia masih tidak mampu.

Walaupun anggota NII mendakwa mereka mewarisi perjuangan Darul Islam (DI) dan NII yang ditubuhkan oleh seorang Kartosoewirjo, seorang kiai terkenal, namun corak perjuangan mereka ternyata berbeza.

Sehubungan itu anak Kartosoewirjo, Tachmid Rahmat Basuki menyifatkan, NII yang wujud sekarang bertujuan untuk menconteng perjuangan DI dan NII yang asal.

"Saya menduga gerakan NII sekarang ini bertujuan menjatuhkan nama baik Islam kerana gerakan NII asal yang diasaskan oleh bapa saya sudah lama dibubarkan dan corak perjuangan serta pendekatan berbeza dengan NII yang ada sekarang,'' katanya.

Tachmid menyifatkan, gerakan NII yang ada sekarang adalah satu ajaran sesat dan tindakan penipuan yang sistematik berasaskan kepada kutipan yuran yang diwajibkan kepada anggota-anggotanya.

"Kutipan yuran itu ternyata tidak pernah dilakukan oleh NII di bawah kepimpinan bapa saya, oleh itu ini semua adalah satu penipuan dan kepalsuan,'' tegasnya.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama gerakan yang menggunakan nama NII terjadi di Indonesia. Dua tahun lalu terbongkar jaringan NII di Solo dan Bekasi.

Apa yang berlaku di Indonesia ini sudah jelas membuktikan ada di kalangan sesetengah umat Islam yang begitu mudah terpengaruh dengan sesuatu gerakan atau pertubuhan yang memperalatkan agama Islam.

Sememangnya seperti juga di Malaysia, golongan mahasiswa sering dijadikan sasaran utama untuk kumpulan atau kelompok yang kononnya memperjuangkan agama ini bagi meraih sokongan.

Keghairahan dan kegelojohan sesetengah mahasiswa untuk menerima apa sahaja perkara yang dikaitkan dengan Islam tanpa mengkaji kebenarannya terlebih dahulu telah memudahkan usaha pihak-pihak berkenaan memerangkap mereka.

Oleh itu bukanlah satu perkara yang menghairankan jika terdapat mahasiswa sama ada di Malaysia atau Indonesia akan mudah terpengaruh dengan pelbagai ajaran sesat yang memperalatkan agama Islam.

Bagi mereka yang menyebarkan ajaran sesat itu pula, mereka tidak mempedulikan kesannya kepada agama Islam, sebaliknya apa yang penting bagi mereka keuntungan yang bakal mereka nikmati.

Kebiasaannya selain wang dan harta benda, pemimpin- pemimpin ajaran sesat juga sering menjadikan anggota gerakan mereka sebagai tempat memuaskan nafsu.

Golongan inilah yang dilaknat oleh Allah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

"Barang siapa menipu umatku maka baginya laknat Allah, para malaikat dan seluruh manusia. Ditanyakan, "Ya Rasulullah, apakah erti menipu itu? Baginda menjawab; "Mengada-adakan amalan bidaah, lalu melibatkan orang lain kepadanya.''.