Selasa, Desember 23, 2008

Ada Ma'had Al Zaytun, Mengapa Kaslan ?




Sumber : http://gerakankahfi.blogspot.com/2008/12/mazuaz.html

KUALA LUMPUR - "Kerajaan Islam yang mahu dibangunkan di Maahad Al-Zaytun oleh pertubuhan 'Ajaran MLM' yang diuar-uarkan bukan sekadar khayalan kerana ia benar-benar berlaku."

Demikian tegas bekas pengikut ajaran sesat itu, Dian (bukan nama sebenar) yang mengaku pernah membuat lawatan ke tapak projek Al-Zaytun di Jawa Barat, Indonesia pada Jun lalu sebelum mengisytiharkan dirinya secara rasmi keluar daripada gerakan sesat itu baru-baru ini.

Sambil menunjukkan bukti bergambar, Dian berkata, kawasan yang dibangunkan di atas sebidang tanah seluas 1,200 hektar di Haur Geulis, Indramayu, Jawa Barat itu merangkumi Universiti Maahad Al-Zaytun yang didakwa bakal menjadi pusat menyebarkan ajaran songsang itu.

"Saya ke sana bersama dengan rombongan yang mana ahlinya seingat saya lima hingga enam orang dengan kos bayaran ke sana lebih kurang RM4,000 seorang.

"Saya sebenarnya ke sana kerana ingin tahu akan bukti kewujudan kerajaan Islam seperti yang diperkatakan," katanya ketika ditemui di sini.

Menceritakan pengalaman kembaranya selama tiga hari dua malam di sana, Dian berkata, kawasan 'negara Islam' itu telah mula dibangunkan pada Ogos 2006.

"Ia bagaikan sebuah 'pulau setempat' dan pembangunannya begitu teratur.

"Ia dibahagikan kepada bangunan sektor pendidikan (merujuk kepada Universiti Maahad Al-Zaytun atau digelar pesantren), sektor pertanian dan penternakan.