Senin, Juni 20, 2005

Hasil siasatan NII Al-Zaytun diumum tidak lama lagi

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2002&dt=0610&pub=utusan_malaysia&sec=dalam_negeri&pg=dn_02.htm

Oleh: ZULKIFLI jalil

KUALA LUMPUR 9 Jun - Kerajaan akan mengumumkan dalam masa terdekat ini hasil siasatan terhadap Pesantren Al-Zaytun di Indramayu, Jawa Barat yang turut menempatkan lebih 100 pelajar Malaysia, yang dikatakan terlibat dalam ajaran sesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin berkata, satu pasukan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dihantar ke Indonesia untuk menyiasat aktiviti pesantren itu 5 Jun lalu, telah kembali ke tanah air kelmarin.

Menurutnya, pasukan yang diketuai oleh Pengarah Pendidikan Jakim bersama polis dan agensi kerajaan yang lain telah mengemukakan laporan kepada beliau.

``Pasukan itu telah pulang Jumaat lalu berserta maklumat dan bukti mengenai kegiatan pesantren tersebut.

``Bagaimanapun masih terlalu awal untuk saya mengumumkan hasil siasatan sebelum satu mesyuarat diadakan sedikit masa lagi,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Aspek pembelajaran di pesantren Al-Zaytun menimbulkan tanda-tanya khususnya di kalangan keluarga pelajar Malaysia kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan sekumpulan ibu bapa kepada lapan pelajar pesantren tersebut bertindak nekad mengeluarkan anak mereka setelah berasa tertipu dengan janji-janji sekolah agama yang disifatkan terbaik di Asia Tenggara itu.

Kumpulan ibu bapa itu pergi sendiri ke Indramayu untuk menjemput anak masing-masing berikutan pihak sekolah berkenaan enggan melepaskan pelajar dan menyimpan pasport mereka.

Terdapat sebanyak 111 orang pelajar Malaysia belajar di pesantren berkenaan dan kebanyakan mereka dikatakan telah berada di tanah air sempena musim cuti sekolah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Shahir Abdullah berkata, Jakim perlu membuat kajian teliti hasil maklumat yang berjaya dikumpulkan sepanjang siasatan dijalankan ke atas pusat pengajian tersebut.

Semasa bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata, analisis terhadap maklumat yang ada juga perlu mengambil kira banyak faktor.

Justeru untuk sementara waktu jelas Mohamad Shahir, adalah perlu ibu bapa mengelakkan dulu daripada menghantar anak mereka ke pesantren yang menimbulkan keraguan itu sehinggalah Jakim membuat keputusan.