Senin, Juni 20, 2005

Jakim bantu ibu bapa keluarkan anak dari Pesantren NII Al-Zaytun

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2002&dt=0528&pub=utusan_malaysia&sec=muka_hadapan&pg=mh_07.htm

KUALA LUMPUR 27 Mei -

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membantu ibu bapa pelajar Pesantren Al-Zaytun di Indramayu, Indonesia untuk mengeluarkan anak-anak mereka daripada sekolah agama berkenaan yang didakwa mengamalkan ajaran sesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin berkata, tindakan segera akan diambil sejurus laporan lengkap mengenai siasatan pasukan Jakim diperoleh dalam waktu terdekat ini.

Menurutnya, pasukan terdiri daripada beberapa pegawai bahagian penyelidikan Jakim dan Polis Diraja Malaysia akan bertolak ke Indonesia, esok.

``Kita akan buat pengumuman mengenai tindakan lanjut sejurus pasukan penyiasat ini pulang ke tanah air,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas sekumpulan ibu bapa kepada lapan pelajar Pesantren Al-Zaytun dari Malaysia bertindak nekad mengeluarkan anak mereka setelah berasa tertipu dengan janji-janji sekolah agama yang disifatkan terbaik di Asia Tenggara itu.

Kumpulan ibu bapa itu pergi sendiri ke Indramayu, Jawa Barat untuk menjemput anak masing-masing berikutan pihak sekolah berkenaan enggan melepaskan pelajar dan menyimpan pasport mereka.

Ditanya mengenai ibu bapa pelajar terbabit terpaksa menggunakan `khidmat orang tempatan' untuk memaksa pihak sekolah melepaskan anak mereka setelah perundingan cara baik gagal, Abdul Hamid berkata:

``Saya tidak mengetahui perkara tersebut tetapi tidak nafikan sebahagian ibu bapa kepada 111 pelajar pesantren dari Malaysia ada menemui saya untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kegiatan sekolah itu baru-baru ini''.

Pesantren Al-Zaytun mencetuskan kontroversi ekoran pendedahan Utusan Malaysia mengenai pesantren itu yang disiasat oleh pihak berkuasa Indonesia selepas Forum Ulama Umat (FUU) Bandung pada 16 Februari lalu mengeluarkan fatwa rasmi bahawa ia menyebarkan ajaran sesat.

Malah pesantren itu juga menurut siasatan awal yang dijalankan oleh pihak Indonesia menunjukkan terdapat amalan `menebus dosa' dilakukan di situ.

Dalam pada itu, Abdul Hamid memberitahu pihaknya meragui beberapa maklumat mengenai kegiatan pesantren berkenaan berdasarkan sumber-sumber tertentu termasuk penduduk tempatan.

``Selain bekerjasama dengan Majlis Ulama Indonesia dan Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia, pasukan penyiasat ini juga akan membuat lawatan ke pesantren berkenaan,'' ujarnya.