Senin, Juni 20, 2005

Perkembangan pesantren NII - Al Zaytun terus dipantau

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2002&dt=0704&pub=utusan_malaysia&sec=luar_negara&pg=lu_07.htm

JAKARTA 3 Jun - Polis Indramayu, Jawa Barat akan terus memantau perkembangan pondok pesantren Al-Zaytun walaupun setakat ini belum menemui sebarang bukti terhadap tuduhan sekolah itu mengamalkan ajaran sesat dan melanggar undang-undang negara ini.

Ketua Polis Daerah Indramayu, Ekobadi Sutedjo berkata, sehubungan itu pihaknya akan menyerahkan soal ajaran sesat kepada pakar-pakar agama termasuk isu untuk menutup pondok pesantren berkenaan.

``Kita juga belum boleh memanggil pimpinan Al-Zaytun (Abu Toto @ Panji Gumilang) kerana belum ada bukti berlaku penyelewengan. Jadi terpaksa kami serahkan tanggungjawab ini kepada pakar-pakar agama,'' katanya seperti dipetik Media Indonesia hari ini.

Isu ajaran sesat di pondok pesantren Al-Zaytun ini turut menarik perhatian kerajaan Malaysia kerana terdapat lebih 100 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian di sekolah pondok yang disifatkan terbesar di Asia Tenggara itu.

Awal Jun lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan polis Bukit Aman telah menghantar pegawainya ke Al-Zaytun untuk membuat siasatan tetapi gagal mendapatkan bukti.

Bagaimanapun beberapa pelajar Malaysia telah bertindak keluar daripada sekolah itu kerana tidak berpuas hati dengan layanan dan kurikulum yang disifatkan tidak seperti yang ditawarkan sebelum ini.

Ekobadi berkata, bahagian risikan polis Indramayu sebenarnya sudah lama berada di pondok pesantren Al-Zaytun tanpa pengetahuan pentadbiran sekolah itu untuk melaporkan setiap perkembangan yang berlaku.

Beliau menambah, risikan itu juga dilakukan setelah polis mendapat maklumat mengenai kemungkinan pondok pesantren Al-Zaytun akan diserang oleh penduduk wilayah Banten yang menyimpan dendam dengan Abu Toto.

Sekolah pondok Al-Zaytun milik Yayasan Maahad Al-Zaytun dirasmikan oleh Presiden B.J Habibie dan didirikan di kawasan seluas 200 hektar dengan kawasan penternakan, perikanan, pertanian dan tanaman hutan seluas 1,000 hektar.

- Utusan