Jumat, September 30, 2005

Zaytun : Abim dedah ajaran sesat Kumpulan Din/Pemuda Kahfi

harakahdaily.net

Wednesday, September 28 @ 17:58:13 MYT


KUALA LUMPUR, 28 Sept (Hrkh) - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak keselamatan agar memantau rapi aktiviti agama khususnya ajaran dan amalan Kumpulan Din atau Pemuda Kahfi.

Berdasarkan modus operandi kumpulan terbabit, Abim juga yakin ajaran Kumpulan Din menyeleweng daripada ajaran Islam.

Presiden Abim, Yusri Mohamad, dalam satu sidang media khas di Anjung Rahmat, Gombak, dekat sini hari ini, mendedahkan aktiviti Kumpulan Din atau Pemuda Kahfi yang bergerak melalui siri pengajian tafsir al-Quran.

"Abim memandang serius isu ini yang melibatkan beberapa ajaran yang boleh menyebabkan umat Islam keliru dan terjebak dalam sebuah lagi ajaran yang akan merosakkan masyarakat Islam," katanya.

Menurut Yusri, kumpulan terbabit pada peringkat awalnya melibatkan kelas pengajaran dan pemahaman al-Quran yang dilakukan secara tersusun dan rahsia.

Katanya elemen kerahsiaan begitu tinggi dapat dilihat melalui tempat belajar yang berubah-rubah, transit kereta, menutup mata dalam perjalanan, eksploitasi kewangan atas nama pembelajaran al-Quran.

"Kerahsiaan nama penyampai pengajian dan tidak membenarkan pengajian ini diketahui umum, keahlian sesama ahli dalam gerakan juga dirahsiakan malah mempunyai beberapa lapisan pemimpin yang tidak dikenal pasti," katanya.

Dalam pada itu, Yusri juga mengesyaki kumpulan terbabit bermotif mengumpul dana memandangkan pengikut dikenakan yuran sehingga RM3,500 sebaik sahaja tamat pengajian mereka.

Jelasnya, kumpulan Pemudah Kahfi ini akan mengenakan bayaran sebelum memasuki kelas tilawah prospek (orang baru) dikehendaki membayar wang 'taubat' dengan nilai minimum RM300.

Tambahnya, wang 'taubat' itu adalah tambahan kepada RM1,000 yang telah dibayar untuk menyertai kelasnya sebagai pendaftaran awal, RM60 bulanan, RM70 untuk pembelian barang keperluan dan RM3,500 untuk bayaran melawat 'Negara Islam'.

"Kumpulan ini mensasarkan orang Islam sahaja, umurnya pula tidak tua dan tidak muda yang penting pengikutnya adalah orang bekerja dan mempunyai gaji lumayan," kata beliau.

Beliau juga mendakwa ajaran ini pun sudah memasuki kampus-kampus institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Justeru, Abim menyeru umat Islam mengambil sikap berhati-hati memantau ahli keluarga dalam mengikuti pembelajaran agama terutama sekali berkait rapat dengan modus operandi atau pendekatan yang didedahkan.

Pengakuan sulit bekas ahli Pemuda Khafi

Seorang pemuda yang enggan mendedahkan identiti kerana dibimbangi dicari oleh pengikut-pengikut kumpulan terbabit yang dikatakan pergerakan mereka sungguh licik dan sistematik, bersedia membuat pengakuan kepada media.

Pemuda terbabit menceritakan bagaimana beliau terjebak dalam kegiatan kumpulan berkenaan tiga bulan yang lalu.

Pada mulanya beliau telah diajak untuk memdalami ilmu agama Islam dan al-Quran oleh seorang teman lama waktu sekolah dahulu.

Katanya, bagaimanapun beliau tidak diberitahu tempat dan masa untuk mengikuti kuliah agama itu, sebaliknya akan dihubungi kemudian.

Sebaik sahaja dihubungi, beliau akan dijemput oleh salah seorang pemimpin kumpulan itu dan di bawa satu tempat di Shamelin Perkasa selepas berpusing-pusing di kawasan itu untuk mengelak daripada ‘orang kafir’ nampak mereka.

"Kata pemimpin kumpulan ini, orang yang ada di sekelilingnya tidak kira Islam ataupun bukan, semuanya kafir," katanya kepada wartawan.

Beliau juga menceritakan bagaimana dirinya boleh terdorong untuk mengikut ajaran berkenaan.

Beliau dibawa berjumpa dengan gurunya yang dikenali sebagai penyampai, pendamping, sponsor (orang yang menariknya mamasuki kumpulan ini) dan calon (dirinya sendiri).

"Saya kena berhadapan ketiga-tiga guru itu, dan di sini proses indoktrinasi kepada saya berdasarkan tiga nisbah satu bertolak kepada keyakinan baru yang diperoleh prospek akan meneruskan pengajaran di sesi berikutnya," jelasnya.

Tambahnya, kelas pengajaran bermula dengan program 'brainwash' atau digelar 'pembasmian fahaman jahiliah' yang dilakukan selama enam bulan.

"Proses ini dinamakan Sistem pendidikan Iqra'/Islam (SPI) yang hanya boleh disertai setelah tamat sesi pengenalan (4 sesi dengan tema besar - masa yang diambil kurang daripada 2 minggu)," katanya.

Tegasnya, doktrin utama kumpulan ini berpandukan kepada empat tema besar antaranya, akidah, contohnya, pengertian kalimah syahadah pada frasa Muhammad ur-Rasulullah mereka memberi makna bahawa perkataan Muhammad bukan merujuk kepada Nabi Muhammad tetapi kepada umat, gerakan atau sesiapa sahaja yang menyebarkan risalah Islam.

Selain itu, katanya, konsep Nubuwwah (kerasulan/kenabian) yang pada mereka diyakini berterusan sehingga kiamat, selagi ada orang yang menyebarkan Islam maka orang tersebut adalah juga Rasul.

Tema yang kedua, katanya ialah Sunnah, seperti, sunnah pada mereka diertikan sebagai 'apa yang Muhammad buat setelah dilantik menjadi Rasulullah.

Dan tema yang ketiga, kata beliau, ialah ibadah iaitu mereka berpendapat, solat terbahagi kepada dua jenis iaitu 'solat aktual' dan 'solat ritual'.

Katanya, menurut mereka 'solat ritual' adalah solat seperti biasa yang pada mereka hanya dijalankan di tempat-tempat aman dan suci seperti di rumah manakala 'solat aktual' adalah sebarang aktiviti dakwah atau pelaksanaan ajaran keislaman (ataupun tilawah dalam istilah mereka) yang dilakukan, pada mereka ini juga adalah solat.

Atas dasar solat inilah beliau mula berfikir bahawa ajaran mereka adalah sesat dan daripada sinilah beliau mula keluar daripada kumpulan terbabit.

Beliau juga menyatakan antara dasar-dasar ajaran Kumpulan Pemuda Kahfi ini juga, rasul tetap diutus sehingga kiamat, wajib ikrar taat setia (bai'ah) kepada imam (pemimpin), dosa boleh ditebus dengan wang bergantung sama ada besar atau kecil jumlah wang ditentukan pemimpin, di luar kelompok mereka adalah kafir, membahagikan suasana persekitaran kepada zaman Makkah dan Madinah dan sekarang zaman Makkah maka syariat tidak perlu dijalankan.

Menurut pemuda itu, beliau telah dikenakan bayaran sebanyak RM1,360 sepanjang tilawahnya enam bulan dan ramai di kalangan ahli keluar dari kumpulan ini kerana tidak mampu untuk membayar wang 'taubat' itu. – lan