Jumat, September 30, 2005

Zaytun : Ajaran Din disiasat

www.bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan melakukan siasatan terperinci mengenai kewujudan kumpulan ajaran sesat Daulah Islamiah Nusantara (Din) atau Pemuda Kahfi yang didakwa menyeleweng dan mengenakan RM300 sebagai wang taubat untuk ahlinya.

Pengarahnya, Mohamed Khusrin Munawi, berkata pihaknya tidak terburu-buru, sebaliknya membuat pemantauan dan mendapatkan maklumat daripada mereka yang terbabit dalam kumpulan itu.

“Kita perlu mengambil masa untuk menyiasat dan tidak boleh mengambil tindakan tanpa bukti kukuh. Sehubungan itu, kita minta Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang mendedahkan penyelewengan kumpulan itu tampil memberi maklumat.

“Jika kita dapati laporan itu benar, kita ambil tindakan. Kita bawa perkara itu kepada Majlis Mufti-Mufti Malaysia dan Majlis Fatwa untuk memastikan kesahihannya kerana ia berkaitan akidah,” katanya.

Beliau berkata, usaha menjejaki pergerakan itu perlu dilakukan dengan mendekati bekas ahli serta mengikuti programnya kerana kumpulan itu bergerak secara rahsia di lokasi yang berubah.

Kelmarin, akhbar melaporkan kumpulan itu mendakwa dapat membantu pengikutnya menebus dosa dengan ‘wang taubat’ RM300. Ia didedahkan seorang bekas pengikut kumpulan itu pada sidang media bersama Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Mohamad.

Kumpulan itu juga mendakwa solat tidak perlu dan bukan pengikutnya dianggap kafir, manakala rasul masih wujud sehingga sekarang, termasuk di kalangan tenaga pengajar pergerakan itu.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Mohd Zin, berkata ajaran pergerakan berkenaan jelas menyeleweng dan terpesong daripada ajaran Islam.

Bagaimanapun, katanya, pihak bertanggungjawab perlu mengambil tindakan segera dengan meneliti dakwaan Abim dan bekas pengikut itu sebelum mengambil tindakan.

“Kita perlu melakukan pemantauan menerusi Majlis Fatwa bagi mengetahui sama ada kumpulan itu mengamalkan ajaran sesat atau tidak.

“Jika ajaran sesat, pemimpin dan ahli kumpulan itu boleh didakwa kerana memesongkan akidah umat Islam serta mengancam keselamatan negara,” katanya.