Jumat, September 30, 2005

Zaytun : Kumpulan ajaran sesat bermatlamat wujud empayar Islam disiasat

utusan.com.my

MELAKA 29 Sept. - Polis akan menyiasat dakwaan mengenai kewujudan sebuah kumpulan ajaran sesat yang bermatlamat menubuhkan empayar pemerintahan Islam atau negara Islam yang dikesan bergiat aktif dengan berselindung di sebalik kelas pengajian al-Quran.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hassan berkata, ini kali pertama beliau mendengar mengenai kewujudan kumpulan itu dan mahu siasatan dijalankan.

Beliau memberitahu pemberita selepas menutup Konvensyen Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tahun 2005 di sini hari ini.

Musa mengulas laporan akhbar hari ini tentang kewujudan satu kumpulan ajaran sesat yang bermatlamat mewujudkan empayar pemerintahan Islam atau negara Islam yang dikesan bergiat aktif dengan berselindung di sebalik kelas pengajian al-Quran. Kegiatan kumpulan yang bergerak secara rahsia dan tersusun itu dikesan hasil kajian dan penyelidikan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sejak lebih enam bulan lalu.

ABIM mula melakukan penyelidikan itu setelah menerima maklumat daripada beberapa orang bekas anggota kumpulan sesat berkenaan.

Menurut Presiden ABIM, Yusri Mohamad, kumpulan yang bergerak atas nama Daulah Islamiah Nusantara (DIN) atau Pemuda Kahfi itu dipercayai bergerak aktif di negara ini sejak lebih 10 tahun lalu.